Saturday, May 1, 2010

Apa itu Kaunseling? Etika Kaunseling?


BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Apa itu kaunseling?

Kaunseling ialah suatu proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi. Ia dijalankan oleh kaunselor profesional bagi membantu perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh. Pertemuan adalah secara sukarela dan berterusan sepanjang hayat berlandaskan Etika Kaunseling.

Kaunseling bukan bererti nasihat, walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien, kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik juga untuk klien . Keistimewaan khidmat kaunseling ialah ia membimbing klien mencari sumber dirinya yang menyumbang kepada isu yang dihadapi. Penerimaan dan perakuan sumber diri adalah penting dalam menghasilkan perubahan diri.

Oleh kerana kaunseling bukan nasihat, hubungan kaunseling adalah berbentuk dua hala. Kaunselor cuba memahami dengan mendengar dan memberikan layanan serta interaksi yang baik, manakala klien memberihalkan masalah mereka dan cuba memahami dan mengambil tindakan menguruskan masalah tadi. Proses aksi dan reaksi di antara klien dan kaunselor turut membantu klien mengenali diri dan persoalan yang dihadapinya.

Kaunseling menggerakkan klien memahami diri dari segi kelemahan yang menghasilkan masalah dalam hidup dan bagaimana klien terdedah kepada permasalahannya. Oleh itu fokus mencapai matlamat yang mereka tentukan sendiri melalui pemilihan-pemilihan yang bermakna, dan melalui penyelesaian masalah yang berbentuk emosional atau antara individu.



MODEL PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

• Perkhidmatan lebih bersifat menyeluruh iaitu memberi khidmat yang ditujukan seboleh-bolehnya kepada semua kelompok sasaran, di mana perlu khidmat rujukan kepakaran juga boleh diberikan.
• Perkhidmatan lebih bersifat perkembangan, pencegahan, dan pemulihan yang boleh disokong melalui aktiviti pengayaan dan pengukuhan.
• Perkhidmatan lebih menekankan bimbingan dan kaunseling pengajaran serta bimbingan dan kaunseling kelompok.
• Perkhidmatan lebih bersifat terbuka .
• Perkhidmatan bersifat bersepadu dan pelbagai disiplin.
• Perkhidmatan bersifat pelbagai modality


KOD TATA LAKU

1. Kaunselor hendaklah menjaga tatalakunya demi memelihara piawaian dan identiti sebagai seorang kaunselor dan intergriti profesion kaunseling.

2 Kaunselor hendaklah sentiasa berusaha menilai dan meningkatkan pengetahuan, kecekapan dan kemahiran dalam bidang profesionnya.

3. Kaunselor hendaklah menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab, objektif dan jujur selaras dengan profesion kaunseling.

4. Kaunselor mestilah diawasi serta dinilai tugas kaunselingnya oleh penyelia profesion melalui penyeliaan lazim (regular supervisor) dan sokongan perundingan (consultative support).

A. Tanggungjawab kaunselor terhadap klien.

1. Kaunselor bertanggungjawab untuk mengutamakan kepentingan klien sama ada klien individu atau klien kelompok.

2. Kaunselor hendaklah menghormati privisi klien dan merahsiakan segala maklumat yang diperolehi semasa kaunseling melainkan maklumat yang akan menyebabkan klien atau orang-orang di persekitarannya.

3. Kaunselor hendaklah memahami dan menghormati latar belakang sosio-budaya klien.

4 Semasa menjalankan sesi kaunseling, kaunselor hendaklah memelihara kesejahteraan fizikal dan psikologi klien dan tidak memperalatkan klien untuk kepentingan diri sendiri sama ada dari aspek kewangan, seksual, emosi dan sebagainya.

5. Kaunselor hendaklah membimbing klien ke arah pembentukan sikap bertanggungjawab terhadap tingkahlakunya. Kaunselor juga perlu menghormati keputusan atau penentuan kendiri yang dibuat oleh klien.

6 Kaunselor hendaklah berkhidmat dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur dan membuktikan kemahiran serta kecekapan profesionalismenya.

7 Kaunselor tidak boleh mengamalkan, mempersetujui atau menggalakkan diskriminasi berasaskan ras, jantina, agama, status ideologi, kecacatan fizikal & mental atau dikriminasi dalam bentuk apa sekali pun.

8. Kaunselor hendaklah menjelaskan kepada klien mengenai keperluan, proses dan implikasi perkhidmatan kaunseling.

9. Kaunselor hendaklah mencapai persetujuan dengan kliennya di peringkat awal sesi kaunseling mengenai batasan unsur kerahsiaan.

10. Persetujuan antara kaunselor dan klien mengenai kerahsiaan boleh disemak semula dan diubah dengan persetujuan bersama.

11. Dalam kes yang jelas terbukti bahawa klien atau orang lain berada dalam bahaya, kaunselor hendaklah menggunakan budi bicaranya untuk menjaga kepentingan klien dan orang lain yang terlibat.

12 Kaunselor tidak digalakkan memberi perkhidmatan kaunseling kepada saudara mara, kawan karib, atau sesiapa yang mempunyai hubungan intim dengannya atau mempunyai hubungan dengan pihak pentadbiran yang membuat penilain.

13. Kaunselor tidak boleh menghalang klien yang hendak menamatkan sesi kaunseling atau ingin bertukar kepada kaunselor yang lain.

14 Kaunselor hendaklah memastikan bahawa kliennya tidak menjalani kaunseling dengan kaunselor yang lain pada masa yang sama.

15. Sekiranya mengikut pertimbangan kaunselor, klien memerlukan perkhidmatan luar daripada bidang kepakarannya kaunselor hendaklah merujuk klien tersebut kepada pihak yang berkenaan.

16 Kaunselor hendaklah menyediakan tempat yang selesa dan private untuk sesi kaunseling. Klien tidak seharusnya diperhatikan oleh orang luar melainkan dengan kebenarannya, termasuk juga sesi kaunseling yang dirakam atau dipita videokan.

B. Tanggungjawab Kaunselor Terhadap Rakan Profesional

1. Kaunselor hendaklah saling berusaha meningkatkan tahap kecekapan profesionalismenya.

2. Kaunselor hendaklah menunjukkan sikap menghormati, adil dan terbuka terhadap rakan profesionalnya.

3. Kaunselor bertanggungjawab untuk mencegah, mendedahkan serta memperbetulkan perlakuan rakan kaunselor yang tidak beretika.

4. Kaunselor hendaklah bersedia untuk mempertahankan, membantu serta membela rakan kaunselor yang teraniaya akibat tuduhan dan tohmahan perlakuan yang tidak beretika.

C. Tanggungjawab Kaunselor Terhadap Masyarakat

1. Kaunselor hendaklah memahami dan menghormati unsur sosio-budaya masyarakat di mana dia berkhidmat.

2. Kaunselor hendaklah mematuhi undang-undang negara dan melaksanakan tugasannya berlandaskan undang-undang tersebut.

D. Tanggungjawab Terhadap Organisasi Dan Majikan

1. Kaunselor hendaklah mematuhi persetujuan komitmen yang ditandatangani dengan organisasi tempat dia berkhidmat.

2. Kaunselor hendaklah berusaha untuk mengikuti polisi dan prosedur serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan organisasinya.

3. Kaunselor hendaklah bertindak untuk mencegah berlakunya diskriminasi dalam organisasi dan dalam perlaksanaan polisi pekerjaan.

4. Kaunselor tidak boleh menyalahgunakan kemudahan dan sumber organisasinya.

5. Kaunselor hendaklah menjelaskan bidang kepakaran dan tahap kecekapan profesionalnya.

6. Kaunselor hendaklah mewujudkan hubungan interpersonal dan persetujuan kerja dangan penyelia dan stafnya mengenai khidmat kaunseling khususnya mengenai unsur kerahsiaan, perbezaaan antara fakta umum atau peribadi, beban kerja dan akauntibiliti.

7. Kaunselor hendaklah memberi tahu kepada pihak mejikan tentang keadaan yang boleh menyebabkan konflik yang merosakkan atau menyekat keberkesanan perkhidmtannya.

8. Kaunselor hendaklah membenarkan dirinya dinilai secara professional dari masa ke masa.

9. Kaunselor hendaklah bersama-sama bertanggung jawab ke atas peningkatan kerjaya untuk diri dan stafnya.



1 comment:

Related Posts with Thumbnails